Wanita Perlu Jadi Peneraju Ekonomi, Bukan Sekadar Angka – Wan Mohalina

KUALA LUMPUR, 7 April – Exco Wanita UMNO, Wan Mohalina Wan Mohamad menegaskan bahawa wanita di negara ini tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penyumbang angka dalam ekonomi, sebaliknya perlu diangkat sebagai peneraju utama dalam pemilikan aset dan kepimpinan ekonomi.

Jelasnya, platform seperti forum ‘Voice of HER’ memainkan peranan penting dalam membincangkan pelbagai aspek kritikal berkaitan wanita termasuk kuasa ekonomi, kelangsungan hidup, kepimpinan serta pemilikan aset.

“Forum ‘Voice of HER’ telah membincangkan mengenai wanita dan kuasa ekonomi, survival, leadership dan juga pemilikan aset. Kita maklum bahawa bilangan pelajar wanita di universiti adalah tinggi, malah dalam sektor pekerjaan termasuk peringkat pengurusan kanan dan CEO, ramai wanita kini memegang jawatan tersebut.

“Tentang pemilikan aset, terutamanya dari segi ekuiti, tanah, shareholder company, ownership syarikat dan wanita masih sangat ketinggalan. Forum ‘Voice of HER’ telah membincangkan tentang perkara-perkara tersebut untuk ubah polisi dan dasarnya serta membantu wanita sehingga ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Wan Mohalina yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani menambah, usaha memperkasa wanita tidak boleh terhenti setakat meningkatkan penyertaan semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada peningkatan status dan penguasaan dalam sektor ekonomi.

“Kita tidak mahu wanita hanya menjadi nombor dalam ekonomi, sebaliknya kita mahukan wanita menjadi ‘leader’ dalam ekonomi. Kita bukan sahaja mahu mencapai peratusan, tetapi mahu wanita mencapai kedudukan yang tinggi dari segi pemilikan aset, tanah dan ekuiti di negara ini,” tegasnya.

Beliau percaya, dengan dasar yang tepat dan komitmen berterusan, wanita mampu menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara secara lebih inklusif dan mampan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan forum ‘Voice of HER’ yang dianjurkan oleh Wanita UMNO Malaysia.

Forum tersebut adalah untuk memperkasakan wanita bukan sahaja ekonomi tetapi untuk memimpin, mempengaruhi dan membentuk masa depan negara.

Ia bukan sekadar menjadi ruang dialog semata-mata, tetapi sebagai pemangkin kepada transformasi menyeluruh dalam memperkasa wanita. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO