UMNO 80 Tahun: Siap Siaga … Pastikan Parti Terus Relevan Demi Agama, Bangsa, Tanah Air

BAGAN DATUK, 7 April – Semua ahli dan akar umbi diharap untuk bersiap siaga bagi memastikan UMNO akan terus kekal relevan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, usia UMNO yang menjangkau 80 tahun memerlukan usaha semua pihak untuk mendepani segala cabaran pada era baharu ini.

“Syukur, alhamdulilah UMNO akan berusia 80 tahun pada tahun ini dan sudah tentunya kita perlu mendepani cabaran-cabaran baharu di era yang ada sekarang ini.

“Saya harap kita semua akan bersiap siaga untuk memastikan bahawa UMNO akan terus kekal relevan sebagai semua parti yang akan menunjangi perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup berharap agar semua pemimpin, ahli dan akar umbi berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan parti agar dapat terus menerajui negara.

“Jadi, saya harap kita semua ahli-ahli UMNO akan terus berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO di dalam masyarakat kita, negara kita sebagai sebuah parti yang sentiasa memperjuangkan agama, bangsa dan negara itu sendiri.

“Dengan ini, saya Shahrul Zaman Yahya ingin mengucapkan selamat Hari Ulang Tahun UMNO yang ke-80 kepada semua ahli UMNO,” katanya lagi.

UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.

Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.

Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO