UMNO Beaufort Perkasa Jentera, Tarik Anak Muda Sebagai Tonggak Perjuangan
BEAUFORT, 6 April – UMNO Bahagian Beaufort terus memperkemaskan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), di samping mengukuhkan sokongan melalui penyertaan semula pemimpin muda ke dalam perjuangan parti.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, mesyuarat bahagian yang diadakan pada Sabtu lalu memberi fokus utama kepada persiapan organisasi parti termasuk pengukuhan struktur dan gerak kerja di peringkat akar umbi.

Dalam mesyuarat tersebut, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Shahron Omar Osin sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Beaufort merangkap Jawatankuasa UMNO Bahagian, manakala Mohd Shahril Osin dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort.
Menurut Awang Aslee, kemasukan semula kedua-dua pemimpin muda itu ke dalam UMNO dilihat sebagai langkah positif dalam memperkukuh parti.
“Saya merakamkan tahniah kepada kedua-dua anak muda ini kerana memilih UMNO sebagai landasan perjuangan mereka. Kemasukan semula mereka tentunya akan memberikan impak besar kepada kekuatan parti di bahagian ini,” katanya.
Beliau menambah, penyertaan golongan muda amat penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti serta memperkukuh sokongan rakyat, khususnya menjelang PRU16 yang semakin hampir.
“Fokus kita sekarang adalah memperkemaskan jentera parti supaya lebih tersusun dan bersedia menghadapi pilihan raya. Kita mahu memastikan Parlimen Beaufort kekal milik Barisan Nasional,” ujarnya lagi.

Selain itu, katanya turut dibincangkan ialah persediaan bagi menjalankan persidangan cawangan-cawangan serta perancangan mengadakan persidangan bahagian yang dijangka berlangsung sekitar Julai tahun ini.
Ujarnya, langkah-langkah tersebut dilihat sebagai usaha strategik UMNO Beaufort untuk memperkukuh organisasi dalaman serta memastikan parti kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat di kawasan itu. – UMNO Online
