Sumbangan Karam Singh Walia Terhadap Isu Alam Sekitar Terus Dikenang – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 6 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan dukacita atas pemergian tokoh wartawan terkenal, Karam Singh Walia yang meninggal dunia pagi tadi.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata negara kehilangan seorang figura penting dalam dunia kewartawanan yang banyak menyumbang kepada kesedaran masyarakat, khususnya berkaitan isu alam sekitar.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan negara.
“Mendiang dikenang sebagai seorang tokoh yang komited dalam membawa isu-isu alam sekitar ke perhatian umum, dengan gaya penyampaian tersendiri yang kekal dalam ingatan ramai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, mendiang dikenang sebagai seorang pengamal media yang komited dalam membawa isu-isu alam sekitar ke perhatian umum dengan gaya penyampaian tersendiri dan kekal dalam ingatan rakyat.
Tambahnya, kemunculan mendiang di kaca televisyen, khususnya dalam laporan lapangan sentiasa menjadi tarikan penonton.
“Kemunculan beliau di kaca televisyen, khususnya dalam laporan lapangan sentiasa menjadi tarikan. Susunan ayat, gaya penyampaian dan personaliti beliau yang unik menjadikan mendiang antara figura yang dekat di hati penonton suatu ketika dahulu.
“Jasa dan sumbangan beliau dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar akan terus dikenang dan dihargai. Kepada keluarga mendiang, saya doakan agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” ujar beliau.
Karam Singh Walia dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang, Selangor. – UMNO Online
