Ribut Landa Kulai, Kerajaan Negeri Komited Baiki Segera Kerosakan – Mohd Jafni
KULAI, 6 April – Kejadian ribut kuat yang melanda kawasan Flat Taman Puteri dan Flat Temenggong di sini pada Sabtu telah menyebabkan beberapa unit kediaman mengalami kerosakan, khususnya pada bahagian bumbung, selain menjejaskan kenderaan penduduk.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata beliau sendiri telah turun padang bagi meninjau keadaan serta memastikan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.
“Saya turun padang meninjau sendiri keadaan di Flat Taman Puteri dan Flat Temenggong, Kulai susulan kejadian ribut pada 4 April 2026 yang telah menjejaskan kediaman penduduk. Keutamaan saya adalah untuk melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan serta memastikan tindakan segera dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” katanya.

Menurut beliau, di Flat Taman Puteri sebanyak lapan unit rumah terlibat, dengan enam daripadanya mengalami kerosakan kritikal pada bumbung, manakala dua unit lagi masih belum dapat dinilai sepenuhnya kerana penghuni tiada di rumah ketika kejadian.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terjejas akibat kejadian itu.
“Saya amat bersimpati dengan semua penduduk yang terjejas. Apabila rumah sendiri rosak, lebih-lebih lagi melibatkan bumbung, ia bukan sahaja memberi kesan fizikal tetapi juga emosi kepada seluruh keluarga,” ujarnya.
Jelasnya, sejurus menerima laporan kejadian, pihak Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan agensi berkaitan telah diarahkan untuk melaksanakan tindakan segera termasuk kerja pembaikan awal serta penyelarasan di lokasi.
Bagi kawasan Flat Temenggong, MPKu telah mengambil langkah awal dengan memasang kanvas pada bahagian bumbung yang terjejas bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk ketika hujan, selain kerja pembersihan turut dilaksanakan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri telah meluluskan kerja penukaran keseluruhan bumbung melibatkan tiga blok di Flat Taman Puteri dengan kos RM1,587,985 yang akan bermula pada 10 April 2026 dan dijangka siap pada 10 Ogos 2026.

“Ini adalah langkah penting bagi memastikan keselamatan jangka panjang penduduk serta mengurangkan risiko kejadian berulang,” katanya merujuk kepada penggantian bumbung jenis asbestos kepada metal deck.
Dalam hal ini beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor juga akan mengemukakan permohonan bantuan melalui Tabung Bencana Negeri Johor dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor bagi membantu penduduk yang terjejas di Flat Temenggong.
Beliau menegaskan semua tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan agenda kepimpinan negeri yang menekankan tindakan pantas dan berkesan untuk rakyat.
“Saya akan terus memantau perkembangan kerja di lapangan sehingga isu ini diselesaikan sepenuhnya,” katanya lagi. – UMNO Online
