Penghakiman Persetujuan Kes Fitnah Libatkan MARA, Kebenaran Akhirnya Menang
KUALA LUMPUR, 6 April – Mahkamah Tinggi Melaka hari ini telah merekodkan Penghakiman Persetujuan dalam satu kes fitnah yang melibatkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkaitan dakwaan kenyataan tidak benar terhadap MARA.
Mengikut penyelesaian kes tersebut, pihak defendan bersetuju untuk membuat permohonan maaf secara bertulis, menarik balik serta memadam semua kandungan berkaitan di media sosial, selain membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada MARA.
Kes itu direkodkan di hadapan Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim sebagai satu penyelesaian di luar perbicaraan penuh.

Menurut Dr Asyraf Wajdi menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menyambut baik keputusan tersebut.
“Alhamdulillah, moga ini menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi.
“Terima kasih kepada barisan Peguam MARA yang diketuai oleh Datuk Adnan Seman dan seluruh pegawai MARA yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan.”
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan wang ganti rugi itu tidak akan digunakan secara peribadi, sebaliknya akan disalurkan ke dalam akaun wakaf MARA untuk manfaat pelajar miskin dan anak yatim.
“Setiap sen ganti rugi ini akan dimasukkan ke dalam Wakaf MARA untuk manfaat pelajar yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menyertakan Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ (17:81) yang bermaksud:
“Katakanlah: Telah datang kebenaran (al-haq), dan lenyaplah kebatilan (al-batil). Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan lenyap.”
Mei tahun lalu, MARA memulakan prosiding saman terhadap Mas Ermieyati atas dakwaan mengeluarkan beberapa kenyataan yang disifatkan sebagai tidak berasas dan berunsur fitnah, berkaitan dakwaan salah urus dana serta pemberhentian program tertentu di bawah seliaan MARA.
Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilapor telah menuduh Dr Asyraf Wajdi membazirkan dana MARA melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – UMNO Online
