Pengerang Terima RM100 Juta, Naik Taraf SMK Tanjung Pengelih Kepada Kolej Vokasional
KUALA LUMPUR, 6 April – Sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan untuk menaiktaraf SMK Tanjung Pengelih kepada Kolej Vokasional, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas peruntukan tersebut.

“Terima kasih PMX atas peruntukan RM100 juta naik taraf SMK Tanjung Pengelih kepada Kolej Vokasional Pengerang.
“Alhamdulillah, khabar gembira buat seluruh warga Pengerang. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan RM100 juta bagi projek naik taraf SMK Tanjung Pengelih kepada Kolej Vokasional (KV) Pengerang.
“Ini bukan sekadar projek pembangunan biasa, ini adalah pelaburan masa depan—untuk anak-anak Pengerang – generasi akan datang. Dengan wujudnya kolej vokasional ini, lebih ramai anak tempatan berpeluang mendapatkan pendidikan berkemahiran tinggi.
“Ia seterusnya membuka jalan kepada pekerjaan lebih baik dalam sektor industri setempat seperti minyak dan gas selain dua lagi bidang penting yang ditawarkan khusus di KV Pengerang — teknologi automotif kenderaan elektrik (EV) dan ‘Cyber Security’,” katanya.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, beliau amat menghargai komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan rakyat tinggal ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya amat menghargai kesungguhan dan komitmen Kerajaan Madani yang benar-benar melaksanakan ‘walk the talk’ … apa yang direncanakan adalah demi memastikan rakyat di kawasan ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat yang sedang berlaku.
“Insya-Allah, ini adalah langkah besar untuk memastikan anak Pengerang bukan sekadar penonton, tetapi menjadi peneraju dalam membina masa depan mereka sendiri.
“Terima kasih juga buat rakan-rakan kabinet saya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Tak lupa buat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar atas kerjasama yang diberikan. Pengerang terus melangkah ke hadapan!” katanya lagi. – UMNO Online
