Mesyuarat Cawangan Jadi Medan Tentu Hala Tuju UMNO
KUALA LUMPUR, 6 April – Mesyuarat Cawangan UMNO seluruh negara yang sedang berlangsung pada ketika ini menjadi medan penting untuk menentukan hala tuju parti dan negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Naib Ketua Pemuda UMNO Sungai Buloh, Zuree Affendie Dzuraimi berkata, mesyuarat cawangan juga menjadi platform untuk para perwakilan menyuarakan pandangan demi memperkukuh parti.

“Selamat bersidang kepada seluruh perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri di semua cawangan di seluruh Malaysia.
“Persidangan kali ini merupakan medan yang amat penting, bukan sahaja dalam usaha memperkasakan agama, bangsa, negara dan Bumiputera, malah menjadi penentu hala tuju parti dan negara menjelang PRU ke-16 juga pasca-PRU16.
“Dalam masa sama, sekiranya terdapat isu-isu semasa yang ingin diketengahkan … seluruh perwakilan cawangan perlu berani menyuarakan pandangan dan mengemukakan cadangan dalam mesyuarat ini,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, terdapat pelbagai isu yang boleh diketengahkan sepanjang mesyuarat cawangan berlangsung antaranya undang-undang terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Antara isu yang perlu diberi perhatian serius ialah berkaitan akta dan undang-undang terhadap kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Insiden yang berlaku kebelakangan ini jelas menunjukkan keperluan untuk hukuman yang lebih tegas dan berat dikenakan terhadap pemandu mabuk.
“Sehubungan itu, perkara ini wajar dibangkitkan di semua peringkat cawangan dan diangkat sebagai usul di kesemua 191 bahagian, agar pindaan undang-undang dapat dilaksanakan demi keselamatan rakyat.
“Medan persidangan ini adalah hak setiap ahli UMNO yang berdaftar. Tanpa suara ahli, maka tiadalah kepimpinan. Sesungguhnya, suara ahli adalah suara keramat yang menjadi kekuatan kepada parti keramat ini,” katanya lagi.
Pada 26 Februari, media melaporkan Perhimpunan Agung UMNO 2026 akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi satu kenyataan, beliau turut memaklumkan bahawa Persidangan UMNO Cawangan akan diadakan pada 1 April sehingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
