PLANMalaysia: Penilai Utama, Pastikan Pembangunan Sumbang Hala Tuju Strategik Negeri

KUALA LUMPUR, 3 April – Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Johor berfungsi sebagai penilai utama yang memastikan setiap pembangunan menyumbang kepada hala tuju strategik negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menerusi kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah bersama warga PLANMalaysia Johor dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada Jumaat.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan bersama warga PLANMalaysia Johor dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Ia satu refleksi kepada peranan besar jabatan ini dalam membentuk landskap pembangunan Negeri Johor secara menyeluruh dan berstrategi.

“Dalam ekosistem pembangunan negeri, PLANMalaysia Johor memainkan fungsi yang sangat kritikal khususnya dalam penilaian dan kelulusan pembangunan. Setiap pelan guna tanah, pelan tempatan dan cadangan projek strategik dinilai secara menyeluruh untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja mematuhi dasar, tetapi benar-benar tersusun, seimbang serta memberi impak jangka panjang kepada rakyat.

“Peranan ini menjadi semakin penting apabila Johor bergerak pantas sebagai negeri berimpak tinggi dari sudut pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Pencapaian seperti pelaburan RM110 bilion, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.4 peratus dan hasil negeri mencecah RM2.6 bilion adalah manifestasi kepada kekuatan perancangan yang tersusun serta berasaskan data.

“Dalam konteks ini, PLANMalaysia Johor berfungsi sebagai penilai utama yang memastikan setiap pembangunan menyumbang kepada hala tuju strategik negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, PLANMalaysia Johor turut memainkan peranan penting dalam merangka dan menyelaras pembangunan bandar pintar.

“Selaras dengan agenda Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menekankan kepantasan penyampaian, kecekapan tadbir urus dan pembangunan berimpak tinggi kepada rakyat, peranan PLANMalaysia Johor menjadi semakin signifikan dalam memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang cepat, tersusun serta berkesan di lapangan.

“Selain itu, dalam agenda Johor sebagai Smart State, PLANMalaysia Johor turut memainkan peranan penting dalam merangka dan menyelaras pembangunan bandar pintar. Penilaian pembangunan hari ini tidak lagi terhad kepada aspek fizikal semata-mata, tetapi turut melibatkan integrasi teknologi, penggunaan data, kecekapan sistem dan keupayaan bandar untuk beradaptasi dengan cabaran masa hadapan.

“Melalui pendekatan Smart City, setiap pembangunan perlu mengambil kira elemen seperti mobiliti pintar, pengurusan trafik, pemantauan keselamatan, pengurusan alam sekitar dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Semua ini memerlukan perancangan yang teliti dan koordinasi yang tinggi. Di sinilah peranan PLANMalaysia Johor sebagai peneraju perancangan menjadi semakin signifikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa pembangunan yang diluluskan perlu memberi nilai tambah di samping memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian.

“Apa yang lebih penting, setiap keputusan yang dibuat dalam proses penilaian pembangunan mesti sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat. Pembangunan yang diluluskan perlu memberi nilai tambah kepada kehidupan harian, meningkatkan kesejahteraan komuniti dan memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi serta kelestarian.

“Akhirnya, pembangunan yang baik bukan sekadar dilihat hebat di atas pelan, tetapi mesti berjaya di lapangan. Peranan PLANMalaysia Johor adalah memastikan setiap pembangunan yang diluluskan bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal, tetapi benar-benar memberi manfaat yang boleh dilihat, digunakan dan dirasai oleh rakyat Johor.

“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan saya ucapkan kepada seluruh warga PLANMalaysia Johor atas komitmen, dedikasi dan integriti dalam melaksanakan amanah. Pengiktirafan hari ini bukan sekadar simbol kecemerlangan, tetapi bukti bahawa setiap usaha yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab akan memberi impak besar kepada negeri dan rakyat.

“Teruskan melangkah sebagai peneraju perancangan negeri membina masa depan Johor yang lebih tersusun, pintar dan berdaya saing,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO