Pendidikan, Kecergasan Komuniti… Keutamaan Gerak Kerja DUN Pertang
KUALA LUMPUR, 3 April – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa pendidikan dan kecergasan komuniti merupakan keutamaan gerak kerja di kawasan tersebut.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa beliau telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM37,200 untuk tujuan pendidikan dan sokongan terhadap aktiviti sukan badan beruniform.

“Hari ini telah berlangsung Majlis Penyampaian Bantuan Anak Sekolah peringkat DUN Pertang bertempat di Dewan Kompleks UMNO Simpang Pertang.
“Dalam majlis yang sama, saya turut menyampaikan sumbangan bagi Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara. Secara keseluruhannya, sumbangan berjumlah RM37,200.00 telah diagihkan bagi tujuan pendidikan anak-anak kariah serta sokongan terhadap aktiviti sukan badan beruniform kita,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berharap agar sumbangan tersebut dapat memberi manfaat sebaiknya kepada para penerima.

“Pendidikan dan kecergasan komuniti adalah dua elemen penting yang sentiasa menjadi keutamaan dalam gerak kerja kami di DUN Pertang.
“Semoga bantuan persekolahan ini meringankan beban ibu bapa, manakala sumbangan sukan tersebut dapat memeriahkan lagi semangat kesukanan dan silaturahim,” katanya lagi. – UMNO Online
