Johor Perkukuh Langkah Sebagai Destinasi Pelaburan Utama Serantau
KUALA LUMPUR, 3 April – Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur negeri Johor terus memperkukuh langkah sebagai destinasi pelaburan utama serantau.
Katanya menerusi satu hantaran di Facebook, ia dibuktikan melalui sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur global yang berpotensi tinggi di Shanghai, China, yang menyatakan minat untuk meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi di negeri ini menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Dalam sesi libat urus bersama China Construction Bank (CCB) yang menghimpunkan hampir 20 syarikat pelabur daripada sektor berimpak tinggi seperti bioteknologi, pembuatan, digital, tenaga dan aeroangkasa, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, memacu pemindahan teknologi baharu serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu.
CCB merupakan antara bank terbesar dunia dengan rangkaian lebih 13,000 cawangan di seluruh China, sekali gus memainkan peranan penting dalam sistem kewangan global serta menjadi peneraju dalam pembiayaan sektor korporat, infrastruktur dan pelaburan berskala besar.

Tambah Onn Hafiz lagi, dalam suasana dunia yang semakin mencabar akibat ketidaktentuan geopolitik, perkembangan ini membuktikan bahawa keyakinan global terhadap Johor bukan sahaja kekal kukuh, malah terus meningkat sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
“Ia turut membuka ruang kepada pelabur menjadikan Johor sebagai pintu masuk ke ASEAN, sekali gus merancakkan ekonomi negeri dan memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan serta pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Semoga usaha berterusan ini dapat memperkukuh kedudukan Johor dalam rantaian ekonomi serantau dan global, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan memberi manfaat secara langsung untuk negeri dan Bangsa Johor. Insya-Allah,” katanya. – UMNO ONLINE
