Perkukuh Ketahanan Ekonomi Desa Hadapi Lonjakan Kos Akibat Krisis Global – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 2 April – Kerajaan menegaskan komitmen untuk memperkukuh ketahanan ekonomi luar bandar susulan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing, khususnya kesan konflik geopolitik yang mencetuskan lonjakan harga minyak dunia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga utama seperti Selat Hormuz telah memberi kesan besar kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.

“Gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga utama seperti Selat Hormuz yang mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan tenaga global telah menyebabkan lonjakan harga minyak dunia sehingga mencecah lebih 60 peratus dalam tempoh singkat,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan kenaikan harga minyak Brent yang mencecah sekitar AS$115.55 setong telah memberi kesan langsung kepada fiskal negara, termasuk peningkatan ketara kos subsidi bahan api.

“Ini telah memberi kesan langsung kepada kedudukan fiskal negara apabila kos subsidi bahan api melonjak daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu,” katanya.

Menurut beliau, kesan krisis tersebut tidak hanya dirasai di peringkat nasional, malah turut menjejaskan kehidupan masyarakat desa yang berjumlah lebih 8.1 juta orang.

“Bayangkan jika kita di bandar ini sudah mula merasakan tekanannya, maka di desa kesannya berlipat kali ganda,” katanya sambil menekankan kesan terhadap kos makanan, pengangkutan dan logistik di kawasan luar bandar.

Dalam ucapan itu, beliau menegaskan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu berperanan sebagai benteng utama dalam membina ketahanan ekonomi desa, bukan sekadar pelaksana program.

“KKDW mesti berperanan sebagai pemudah cara yang menyelaras bantuan segera, memperkukuh rantaian bekalan di peringkat desa, dan membuka ruang ekonomi baharu berasaskan kekuatan tempatan,” katanya.

Beliau turut menggariskan tiga fokus utama KKDW iaitu menangani tekanan jangka pendek, mengurangkan kebergantungan kepada kos global yang tidak stabil, serta membina sumber pertumbuhan baharu di kawasan desa.

Ahmad Zahid berkata bantuan kepada golongan sasar seperti pekebun kecil, pesawah, nelayan dan usahawan desa perlu dilaksanakan secara lebih cepat dan berasaskan data.

“Dalam keadaan krisis, ‘time is critical’, bantuan yang lambat sampai sering kali gagal berfungsi sebagai perlindungan sebenar,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh koperasi dan rangkaian pengedaran tempatan bagi mengurangkan kos perantaraan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan pencapaian membanggakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar dan institusi MARA.

“Alhamdulillah, kejayaan ini membuktikan apabila peluang diberikan secara adil dan sokongan disalurkan secara konsisten, anak desa mampu melakar kecemerlangan setanding di pentas nasional,” katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan menyeru semua pihak untuk terus memperkukuh daya tahan negara menghadapi cabaran global yang tidak menentu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO