Kenaikan Harga Diesel: UMNO Batu Cadang Potong SST
KUALA LUMPUR, 2 April – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berpandangan kerajaan wajar mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan penurunan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurut beliau melalui langkah tersebut secara automatik ia akan menyerap kos kenaikan harga barang akibat kenaikan harga bahan bakar.
“Jika sebuah kerajaan yang memikirkan kebajikan dan mempunyai nilai empati yang tinggi pada rakyatnya laksanakan pemotongan SST.
“Sekiranya kerajaan menurunkan cukai SST kepada empat hingga lima peratus secara mikro dan makro ekonomi rakyat secara automatik akan dapat menyerap kos kenaikan harga barang akibat kenaikan harga bahan bakar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, kata beliau harga diesel baharu yang diumumkan semalam, iaitu RM6.02 bagi Semenanjung akan menjadikan efek domino kepada semua rantaian perniagaan dari sektor lojistik, sektor pengangkutan, pembekalan bahan makanan, servis perkhidmatan, perniagaan runcit dan pelbagai lagi.
Menurut beliau, langkah itu dijangka akan meningkatkan kos sara hidup rakyat, sekaligus menekan kewangan isi rumah.
Katanya lagi inisiatif bekerja daripada rumah juga bukan solusi tuntas untuk mengawal kenaikan kos harga barang.
“Kononnya boleh mengurangkan pengunaan bahan bakar petrol dan diesel. Betul tetapi berapa peratus yang menyumbang kearah itu? Ianya tidak signifikan langsung.
“Kenapa kita tidak meniru langkah-langkah negara luar seperti Jepun, Sepanyol, Australia, India, Vietnam, Afrika Selatan yang menurunkan cukai petrol dan diesel bagi menyerap kenaikan kos bahan bakar dinegara mereka disamping mengurangkan beban pengguna dan rakyat.
“Persoalan yang terbesar, adakah keadaan dan kedudukan fiskal negara begitu meruncing? Kerajaan tidak mempunyai kewangan untuk perbelanjaan negara? Dari apa yang saya nampak, begitulah keadaannya,” katanya lagi.
Gulam Muszaffar dalam pada itu turut berharap dengan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) demi kepentingan rakyat.
“Tahun 2025 kerajaan dengan regim sistem cukai SST hanya sekitar RM52 billion yang diperolehi pada kadar lapan peratus jauh berbeza ketika zaman GST dilaksanakan dengan kadar enam peratus yang boleh mencapai sekitar RM60 bilion
“Lebih baik lagi seperti apa yang dicadangkan oleh Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang bercadang akan mengembalikan GST selepas Pilihan Raya Umum ke-16 sekiranya BN memerintah semula bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara.
“Jika kerajaan yang diterajui oleh YAB PMX membuang ego dan rasa malu kembalikan regim cukai GST kepada paras 4 peratus.
“Yang paling penting kini kepentingan rakyat dan negara perlu dijaga dari terus terjerumus keparas yang membimbangkan dan akan berada diambang muflis,” katanya lagi. – UMNO Online
