‘Biar Berbeza Pandangan, Tetapi Jangan Berpecah’
KUALA LUMPUR, 2 April – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah berpandangan persidangan cawangan perlu dimanfaatkan sebagai platform penting untuk merencana gerak kerja parti dengan lebih tersusun dan berkesan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota berkata ini kerana persidangan bukan sekadar memenuhi acara tahunan sebaliknya menjadi medan strategik untuk menentukan hala tuju perjuangan parti.
“Persidangan bukan sekadar memenuhi agenda tahunan, tetapi medan penting untuk kita memperkukuhkan kesatuan, memperkemas gerak kerja dan menyusun strategi perjuangan demi masa depan parti serta rakyat.
“UMNO hari ini perlu tampil lebih dinamik, bergerak pantas, berfikir jauh, dan berani melakukan pembaharuan, mesti dilihat sebagai sebuah parti yang sentiasa mengeluarkan idea-idea segar, solusi realistik dan dasar yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat terutama golongan muda, keluarga dan komuniti yang memerlukan pembelaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Syed Hussien juga percaya keupayaan parti keramat ini untuk memacu pembangunan negara berteraskan prinsip yang kukuh.
Mengulas lanjut, beliau berkata UMNO merupakan parti yang inklusif dan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan demi memastikan parti terus kukuh dan relevan bagi menghadapi cabaran semasa dengan lebih matang
“Saya percaya UMNO bukan sahaja mampu menyatukan bangsa, malah UMNO juga mempunyai keupayaan untuk memacu pembangunan negara dengan hala tuju yang jelas, berprinsip dan berpaksikan kestabilan.
“Biar berbeza pandangan, tetapi jangan berpecah. Kerana kekuatan UMNO terletak pada kesetiaan, kesatuan dan perjuangan yang tidak pernah padam,” ujar beliau. – UMNO Online
