UMNO Perkukuh Akar Umbi, Ahmad Zahid Seru Susun Langkah Baharu Sempena Ulang Tahun ke-80

KUALA LUMPUR, 1 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh perwakilan UMNO agar memanfaatkan persidangan peringkat cawangan sebagai medan memperkukuh parti dan menyusun hala tuju masa depan.

Dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat UMNO yang berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei 2026, beliau menegaskan bahawa persidangan akar umbi merupakan platform penting untuk mendengar suara ahli serta memperhalusi strategi perjuangan parti.

Menurut beliau, tahun ini amat signifikan kerana UMNO memasuki usia 80 tahun, sekali gus menuntut ahli untuk terus memperkukuh asas perjuangan sambil menyesuaikan pendekatan dengan cabaran semasa.

“Inilah medan sebenar kekuatan UMNO. Di sinilah suara ahli didengar, pandangan dihimpunkan dan hala tuju diperhalusi bersama,” katanya.

Beliau turut menggesa ahli parti supaya menggunakan ruang persidangan untuk bermuhasabah dan merancang langkah ke hadapan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Gunakanlah ruang ini sebaiknya untuk bermuhasabah dan menyusun langkah ke hadapan demi agama, bangsa dan tanah air kita yang tercinta,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pengalaman panjang parti perlu digandingkan dengan pembaharuan agar UMNO kekal relevan dalam landskap politik semasa.

“Perjuangan yang panjang ini menuntut kita untuk terus memperkukuh asas, berpegang pada pengalaman dan dalam masa yang sama menyuntik pendekatan yang lebih segar bagi mendepani cabaran semasa,” katanya.

Beliau optimis bahawa persidangan kali ini akan mencetuskan semangat baharu dalam kalangan ahli.

“Insya-Allah, daripada persidangan inilah akan lahirnya semangat baharu yang akan terus menggerakkan UMNO melangkah ke hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO