Tragedi Jalan Raya: Pemuda UMNO Sokong Undang-Undang Lebih Tegas Tangani Pemandu Mabuk

KUALA LUMPUR, 1 Apr – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang tegas dan tidak berkompromi dalam isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang semakin membimbangkan.

Naib Ketuanya, Am Amar Izzuden Hamidun berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh pendirian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas terhadap kes pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian.

“Kejadian tragis yang meragut nyawa Allahyarham Amirul Hafiz Omar baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa tindakan pencegahan sedia ada masih belum mencukupi untuk mengekang perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

“Isu pemanduan dalam keadaan mabuk bukan lagi sekadar pelanggaran undang-undang biasa, sebaliknya telah menjadi ancaman serius kepada keselamatan awam dan ketenteraman masyarakat.

“Hukuman yang lebih berat dan bersifat pencegahan perlu dipertimbangkan secara serius, termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan konsisten terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya kepada UMNO Online.

Tegas beliau, nyawa manusia tidak boleh diganti. Setiap kehilangan akibat kecuaian adalah satu tragedi yang harus dicegah, bukan sekadar diratapi.

Mengulas lanjut Amar Izzuden mencadangkan bahawa hukuman lebih berat dan bersifat pencegahan perlu dilaksanakan segera tanpa lengah.

“Antara langkah yang dicadangkan pelaksanaan pampasan mandatori kepada keluarga mangsa sebagai bentuk tanggungjawab moral dan kewangan oleh pelaku.

“Langkah pendidikan dan kesedaran awam yang berterusan, khususnya dalam kalangan golongan muda, mengenai risiko dan implikasi undang-undang serta sosial akibat pemanduan dalam keadaan mabuk,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan memperketatkan hukuman hendaklah dilaksanakan secara adil, berperundangan dan mengambil kira prinsip keadilan agar ia benar-benar memberi kesan pencegahan tanpa menimbulkan ketidakadilan kepada mana-mana pihak.

“Saya percaya bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan, agensi penguat kuasa, pertubuhan masyarakat dan rakyat keseluruhannya perlu berganding bahu dalam memastikan tragedi seumpama ini tidak terus berulang,” tegasnya.

Baru-baru ini media melaporkan seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa lelaki tempatan berumur 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia. Hasil ujian saringan mendapati pemandu Honda City itu positif alkohol serta dadah. 

Hari ini pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun. – UMNO Online

 

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO