Keputusan SPM: Negeri Johor Catat Pencapaian Membanggakan, Cermin Komitmen Semua Pihak

KUALA LUMPUR, 1 April – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang diumumkan pada Selasa menunjukkan Negeri Johor mencatatkan pencapaian membanggakan, menjadi cermin terhadap komitmen semua pihak.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2025 mencatatkan 4.28, meningkat sebanyak 0.08 mata berbanding 4.36 pada tahun 2024.

“Tahniah dan syabas kepada 49,647 calon Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2025 di Negeri Johor atas usaha dan ketekunan sepanjang menempuh peperiksaan penting ini.

“Syukur alhamdulillah, Negeri Johor terus memperoleh pencapaian membanggakan apabila GPN SPM 2025 mencatatkan 4.28, meningkat sebanyak 0.08 mata berbanding 4.36 pada tahun 2024, sekali gus mengatasi Gred Purata Kebangsaan iaitu 4.42.

“Selain itu, 95.00 peratus calon layak menerima sijil, melibatkan seramai 40,121 calon, meningkat berbanding 94.50 peratus pada tahun sebelumnya. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak Bangsa Johor terus diperkasa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut menyeru para pelajar agar terus melangkah ke peringkat pengajian tinggi dan memanfaatkan peluang pendidikan serta kemahiran yang ada.

“Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pendidik dan para ibu bapa yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, bimbingan serta sokongan kepada para pelajar.

“Saya menyeru para pelajar yang berjaya agar terus melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi dan memanfaatkan peluang pendidikan juga kemahiran yang ada, demi melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran serta berdaya saing untuk memacu pembangunan Negeri Johor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa masih banyak ruang dan peluang boleh dipilih khususnya kepada calon-calon yang belum memperoleh keputusan seperti diharapkan.

“Kepada calon yang mungkin belum memperoleh keputusan seperti diharapkan, jangan berputus asa. Kejayaan tidak terhad kepada satu laluan sahaja, masih banyak ruang dan peluang untuk melangkah ke hadapan, mengikut potensi serta kekuatan masing-masing.

“Semoga kejayaan hari ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kecemerlangan pada masa hadapan dan bagi yang belum berjaya, jadikan ia sebagai titik permulaan untuk bangkit dengan semangat baharu. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO