Keputusan SPM: Amizar Ucap Tahniah, Tegaskan Anak Pahang Mampu Bersaing Di Mana Sahaja
KUALA LUMPUR, 1 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh anak Pahang di atas pencapaian cemerlang yang diperoleh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa keputusan yang diperoleh itu membuktikan bahawa anak Pahang mampu bersaing di mana sahaja.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh anak-anak Pahang atas pencapaian cemerlang dalam SPM 2025.
“Kejayaan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi hasil usaha gigih, pengorbanan ibu bapa serta dedikasi para guru yang tidak pernah jemu mendidik. Saat ini adalah bukti bahawa anak Pahang mampu berdiri sama tinggi dan bersaing di mana sahaja.
“Teruskan melangkah ke hadapan dengan penuh yakin. Jadikan kejayaan ini sebagai asas untuk membina masa depan yang lebih gemilang, bukan noktah kepada usaha,” katanya.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang turut berharap agar mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya mendapat peluang.

“Teruskan melangkah ke hadapan dengan penuh yakin. Jadikan kejayaan ini sebagai asas untuk membina masa depan yang lebih gemilang, bukan noktah kepada usaha.
“Kepada yang belum mencapai sasaran, perjalanan masih panjang, teruskan berusaha dan jangan pernah berputus asa. Masa depan negara terletak di tangan kalian.
“Sesibuk saya sebagai wakil rakyat sekalipun, masih sambung belajar di UTM untuk menambah ilmu pengetahuan. Semoga anak-anak semua juga rajin belajar dan sambung belajar sekiranya mendapat peluang,” katanya lagi.
Pada Selasa, media melaporkan Pahang mencatat keputusan membanggakan dalam peperiksaan SPM 2025 dengan kedudukan kedua terbaik di peringkat nasional.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhan, seramai 21,043 mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2025 dengan 96.52 peratus berjaya memperoleh Layak Sijil (LS), manakala seramai 671 calon pula berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran. – UMNO Online
