Cuaca Panas: Ahmad Zahid Maklumkan Kerajaan Perkasa Kesiapsiagaan Hadapi Peralihan Monsun

KUALA LUMPUR, 1 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kerajaan kini berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi susulan cuaca panas melampau yang melanda beberapa kawasan di negara ini ketika fasa peralihan monsun.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, suhu di sesetengah lokasi dijangka mencecah antara 35°C hingga 40°C, sekali gus memberi tekanan kepada sumber air, sektor pertanian serta kehidupan harian rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, beliau telah mengarahkan agar kesiapsiagaan di peringkat negeri dipertingkatkan, termasuk pengaktifan Pusat Kawalan Bencana Negeri bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan data dan maklumat semasa.

“Cuaca panas yang sedang melanda beberapa kawasan ketika fasa peralihan monsun ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan turut melaksanakan beberapa langkah segera termasuk penghantaran bekalan air kecemasan ke kawasan terjejas serta pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di negeri Perak, Kedah, Perlis dan Johor yang dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 9 April ini.

Ujarnya, langkah tersebut bertujuan membantu meningkatkan paras takungan empangan yang semakin menurun akibat cuaca panas berpanjangan.

“Keutamaan kerajaan tetap jelas iaitu memastikan setiap bantuan sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa golongan berpendapatan rendah, warga emas, petani kecil serta komuniti yang bergantung kepada sumber air tempatan akan terus diberi perhatian.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya menggunakan air secara berhemah serta sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa bagi memastikan situasi dapat dikawal dengan lebih berkesan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO