Kes Pemandu Mabuk Bukan Isu Terpencil, Undang-undang Sedia Ada Belum Memadai
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad, menggesa kerajaan bertindak segera terhadap isu pemandu mabuk yang semakin menjadi ‘pembunuh senyap’ di jalan raya.
Menurut beliau, tragedi demi tragedi yang meragut nyawa akibat pemandu mabuk bukan lagi boleh dianggap sebagai kes terpencil, sebaliknya sudah menjadi barah yang membarah dalam masyarakat.
“Isu pemandu mabuk ini bukan lagi kes terpencil, ini adalah ancaman nyata kepada nyawa rakyat, dan kita sudah terlalu lama berkompromi dengan risiko ini.
“Hakikatnya, undang-undang sedia ada masih belum cukup memberi kesan pencegahan. Hukuman maksimum mungkin tinggi, tetapi tanpa hukuman minima yang tegas dan pelaksanaan yang konsisten, mesejnya tidak sampai.
“Berapa lagi nyawa perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak tegas. Sudah tiba masanya kita bertindak lebih berani,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Farhan mendesak agar pindaan undang-undang dibuat segera termasuk memperkenalkan hukuman minimum yang berat tanpa kompromi serta hukuman tambahan seperti sebatan bagi kes yang menyebabkan kematian.
“Pndaan undang-undang dilakukan dengan segera, termasuk memperkenalkan hukuman minima yang jauh lebih berat, serta mempertimbangkan hukuman tambahan seperti sebatan bagi kes yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Ia sebagai satu isyarat jelas bahawa kerajaan benar-benar serius dan komited dalam melindungi nyawa rakyat serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kecuaian yang meragut nyawa,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Farhan mencadangkan agar Malaysia mencontohi negara-negara yang mengenakan hukuman jauh lebih keras terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Seterusnya beliau menyeru semua pembuat dasar dan ahli Parlimen, dari kedua-dua belah pihak, untuk mengetepikan perbezaan dan bersama-sama menyokong pindaan ini demi kepentingan rakyat.
“Ini bukan isu politik, ini isu keselamatan rakyat. Nyawa tidak boleh diganti, dan keadilan tidak boleh ditangguh,” tegasnya lagi. – UMNO Online
