UMNO Labuan Bersatu, Kembali Bangkit Demi Membela Rakyat

LABUAN, 30 Mac — UMNO Labuan terus memperkukuh kesatuan dalaman dan komitmen perjuangan parti dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Labuan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, semangat baharu jelas terpancar apabila Mesyuarat Perasmian Serentak Cawangan-Cawangan UMNO Labuan berjaya dilaksanakan dengan kehadiran kepimpinan di semua peringkat.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang turut menyuntik keyakinan dalam kalangan ahli parti di wilayah berkenaan.

Menurut Mohd Rafi, kehadiran penuh barisan kepimpinan daripada lima peringkat membuktikan kesungguhan UMNO Labuan dalam memperkukuhkan parti serta mengatur gerak kerja lebih tersusun.

“Kekuatan utama UMNO Labuan hari ini terletak pada kesatuan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan kepimpinan dan ahli. Perjuangan kami sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan supaya UMNO terus dekat dan kekal di hati masyarakat Labuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohamed Khaled atas kesudian hadir merasmikan mesyuarat tersebut, sambil menyifatkan kehadiran itu sebagai pemangkin semangat baharu kepada seluruh jentera parti.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif kebajikan terus dilaksanakan secara konsisten bagi mendekati rakyat, termasuk program mingguan dan bulanan yang menekankan pendekatan politik sebagai satu ibadah.

“UMNO Labuan akan terus bekerja keras dalam mencari kemenangan. Usaha kami bukan sekadar retorik, tetapi lahir daripada tekad dan impian besar rakyat Labuan yang mahukan perubahan sebenar,” ujarnya.

Mohd Rafi berkata, rakyat Labuan mengharapkan kerajaan Persekutuan mengembalikan wilayah itu ke kedudukan asal sebagai kawasan yang maju, berdaya saing dan sejahtera.

Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO Labuan akan terus bangkit sebagai suara rakyat dengan memperjuangkan hak serta masa depan wilayah berkenaan.

“Dengan kesatuan, keikhlasan dan kerja kuat, insya-Allah kemenangan akan kembali milik kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO