Realiti Politik Tuntut Pendekatan Baharu, Fokus Dekati Generasi Muda

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan realiti politik semasa menuntut pendekatan baharu bagi memastikan parti terus kekal relevan dan mendapat sokongan rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO perlu keluar daripada cara lama dengan mendekati pengundi, khususnya dalam kalangan generasi muda serta memperluas sokongan kepada golongan yang masih belum bersama parti.

“Realiti politik hari ini menuntut pendekatan baharu. Kita perlu keluar daripada cara lama, mendekati pengundi khususnya generasi muda serta memperluas sokongan kepada mereka yang belum bersama kita. Usaha ini perlu disokong dengan keterlihatan program di lapangan agar UMNO terus dekat dan relevan dengan masyarakat.

“Dalam masa yang sama, usaha memperkukuh parti mesti disertai dengan penyatuan semula, termasuk membuka ruang kepada mereka yang pernah bersama UMNO untuk kembali memperkuatkan saf perjuangan,” katanya.

Khaled berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Labuan.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Labuan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan serta kepimpinan bahagian.

Dalam pada itu, Khaled turut menyifatkan UMNO Labuan mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh menjadi asas kebangkitan parti di kawasan berkenaan.

“UMNO Labuan mempunyai kekuatan tersendiri dengan perpaduan yang utuh serta kesetiaan ahli walau berdepan cabaran. Inilah asas penting untuk kita bangkit semula.

“Labuan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional. Dengan gerak kerja yang tersusun dan kesiapsiagaan dari sekarang. Insya-Allah UMNO Labuan mampu bangkit dan kembali memenangi hati rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO