Subsidi Pukul Rata Bukan Lagi Pilihan, B40 Dan M40 Perlu Terus Dilindungi

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berpandangan kerajaan perlu melaksana pendekatan subsidi yang lebih tepat dan berkesan dalam menangani kenaikan harga minyak.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, mereka menyifatkan subsidi pukul rata bukan lagi pilihan yang mampan sebaliknya pendekatan bersasar mesti dilaksanakan dengan teliti agar golongan B40 dan sebahagian M40 terus dilindungi, tanpa membebankan kedudukan kewangan negara.

“Sokongan langsung kepada rakyat perlu diperkukuh. Bantuan tunai bersasar adalah antara langkah paling cepat untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kos hidup dan memastikan mereka masih mampu meneruskan kehidupan serta memenuhi keperluan asas. Ini bukan soal kebergantungan, tetapi soal kelangsungan hidup rakyat.

“Pada masa yang sama, kita tidak boleh hanya bergantung kepada penyelesaian jangka pendek. Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan lebih strategik melalui peralihan tenaga yang dirancang secara berperingkat dan realistik. Insentif kepada penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga solar bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada minyak, tetapi juga membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu untuk masa depan negara.

“Rakyat hari ini tidak sekadar mahu penjelasan. Rakyat nak hidup yang lebih tenang, bukan semakin tertekan. Sebab itu, kerajaan perlu bertindak dengan lebih tangkas, lebih teliti dan lebih berani. Bukan sekadar mengurus angka atau gula-gula sementara dalam pengumuman, tetapi benar-benar meringankan beban kehidupan sebenar mereka secara berterusan,” kata Pergerakan Puteri UMNO Malaysia lagi.

Menerusi kenyataan yang sama mereka berkata kenaikan harga minyak hari ini bukan sekadar perubahan angka di papan stesen minyak sebaliknya memberi kesan langsung kepada keseluruhan ekosistem ekonomi negara termasuk kos pengangkutan, harga makanan, sehinggalah kepada daya beli rakyat.

Ujar Pergerakan Puteri UMNO Malaysia itu lagi secara realiti, keluhan rakyat hari ini semakin jelas apabila ibu-ibu terpaksa mencatur semula perbelanjaan dapur, malah anak muda juga berkira-kira untuk bergerak ke tempat kerja.

“Peniaga kecil pula semakin terhimpit dengan kos operasi yang terus meningkat. Inilah keadaan sebenar yang sedang dihadapi oleh ramai rakyat. Apabila harga minyak meningkat, kos logistik turut naik. Apabila kos logistik meningkat, harga barang juga akan terkesan. Dan akhirnya, yang paling terasa beban adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kita memahami bahawa harga minyak Malaysia tidak bergerak secara terasing. Ia dipengaruhi oleh pasaran global, geopolitik, kadar tukaran mata wang serta permintaan dunia. Namun, walaupun kita tidak mampu mengawal harga minyak dunia, kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab untuk mengurus kesannya di dalam negara dengan lebih tangkas, teliti dan berpihak kepada rakyat.

“Justeru, Puteri UMNO Malaysia menyeru agar setiap dasar yang dirangka benar-benar berakar daripada suara rakyat. Kami akan terus menjadi jambatan kepada denyut nadi suara rakyat yang realistik dan mahukan penyelesaian lestari,” kata mereka. UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO