Simfoni Kongsi Raya DUN Parit Yaani Satukan Kepelbagaian, Lebih 3,000 Hadir

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani yang berlangsung semalam tampil dengan kelainan tersendiri apabila mengetengahkan tema “Simfoni Kongsi Raya”, sekali gus berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana penuh harmoni dan muhibah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja menjadi platform menyambut Aidilfitri, malah turut diraikan bersama semangat perayaan Tahun Baharu Cina, mencerminkan keunikan perpaduan Bangsa Johor.

Menurut beliau, pendekatan “Kongsi Raya” yang dibawakan bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi kepada konsep Kongsi Rezeki hasil lebihan ekonomi negeri yang disalurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.

“Program ini memberi keceriaan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik. Ia selari dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menikmati hasil pembangunan,” katanya.

Majlis yang mencatat kehadiran lebih 3,000 pengunjung itu bermula seawal jam 5.00 petang hingga 10.00 malam, dengan kehadiran tetamu terdiri daripada pemimpin pelbagai parti politik, wakil jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat.

Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah para penerima manfaat pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Insentif Mahasiswa Anak Johor, Bantuan Dapur Kasih Johor serta golongan anak yatim mangsa COVID-19, yang mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, suasana majlis yang meriah dengan hidangan pelbagai kaum, persembahan kebudayaan serta interaksi mesra antara tetamu jelas menggambarkan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat setempat.

Ujarnya lagi, sambutan seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh hubungan silaturahim serta menjadi platform menyemai nilai kebersamaan dalam kalangan rakyat.

“Semoga Aidilfitri tahun ini membawa kegembiraan dan menjadi kenangan terindah buat seluruh warga DUN Parit Yaani, selain terus mempereratkan lagi hubungan antara masyarakat,” tambah beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO