Penyelarasan Kuota BUDI95 Perlu Dilihat Secara Menyeluruh – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan bahawa penyelarasan kuota BUDI95 perlu dilihat secara menyeluruh.
Ini kerana katanya, keputusan tersebut tidak seharusnya dinilai berdasarkan peratusan, tetapi pada realiti kehidupan sebenar rakyat yang berada di sebalik angka tersebut.

“Saya baru sahaja mendengar pengumuman Perdana Menteri (PMX) berhubung pelarasan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, dengan penegasan bahawa langkah ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat.
“Saya faham keperluan kerajaan untuk mengurus subsidi secara lebih tersasar dalam keadaan ekonomi global yang mencabar. Namun dalam masa yang sama, keputusan seperti ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh, bukan sekadar pada angka peratusan… tetapi pada realiti kehidupan sebenar rakyat yang berada di sebalik angka tersebut.
“Apabila PMX memaklumkan bahawa penurunan kuota liter ini tidak menjejaskan 90 peratus rakyat, maka kita harus bertanya satu soalan yang lebih jujur… ‘siapa sepuluh peratus yang terpaksa terjejas kehidupannya?’ Jangan kita selesa dengan angka sebab dalam politik, angka mungkin boleh menenangkan pentadbiran tapi tidak semestinya menenangkan kehidupan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, golongan yang sepuluh peratus itu adalah rakyat yang hidup dengan pilihan terhad dan mungkin terpaksa duduk di luar bandar untuk mengurangkan kos sara hidup.
“Mereka ini yang menjadi ‘weekend husband’, ‘weekend wife’, yang berulang-alik negeri demi anak dan keluarga. Mereka ini yang bekerja keras, ke hulu ke hilir berusaha mencari rezeki, bukan untuk mewah, tapi hanya untuk cukup. Jelas sekali, tambahan 100 liter itu bukan kemewahan. Itu ruang bernafas.
“Apabila ruang itu dipotong, jangan terkejut kalau hidup mereka jadi semakin sempit. Saya nak cakap terus terang – ini bukan soal 90 peratus vs 10 peratus. Ini soal keadilan. Kalau kerajaan betul-betul faham denyut nadi rakyat, mereka akan cakna bahawa dalam situasi seperti ini kerana yang paling terkesan itu bukan majoriti tetapi minoriti yang paling terhimpit.
“…dan secara hormatnya, saya ingin mengingatkan semula kerajaan, khususnya YAB PMX sendiri. Dulu, sebelum berada di Putrajaya, naratif yang dibawa cukup jelas sehingga rakyat terbeli bahawa Malaysia ini negara pengeluar minyak. Apabila harga minyak dunia naik, Petronas juga untung besar.
“Maka logiknya mudah. Kalau negara dapat lebihan hasil, maka rakyat juga sepatutnya merasai lebihan itu. Hari ini, dalam keadaan dunia bergolak, harga minyak melonjak, tekanan kos hidup meningkat – ini bukan masa untuk mengetatkan ruang rakyat,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut mendesak agar kerajaan menguruskan lebihan margin keuntungan tersebut untuk disalurkan semula kepada rakyat.
“Inilah masa untuk kerajaan menunjukkan keprihatinan sebenar. Sekalipun kos import minyak untuk kegunaan domestik juga dijangka naik, saya percaya masih ada lagi lebihan keuntungan daripada hasil penjualan minyak kita yang bergred tinggi.
“Saya mendesak agar kerajaan menguruskan lebihan margin keuntungan tersebut untuk disalurkan semula kepada rakyat. Kerajaan wajib memberi fokus kepada sepuluh peratus yang sedang terkesan ini.
“Jangan kerana mereka kecil dalam statistik, kita besar dalam mengabaikan mereka. Perlu diingat, tanpa perang pun mereka sudah berjimat. Tanpa krisis pun mereka sudah berkorban. Ini pula dalam keadaan getir begini. Jangan sampai dasar kerajaan sendiri menjadikan mereka semakin terjerat.
“Hakikatnya, saya tidak menolak rasionalisasi. Tetapi rasionalisasi mesti datang bersama solusi, bukan menghilangkan empati. Jadi saya ulang sekali lagi, dengan penuh tanggungjawab; apa perancangan kerajaan untuk golongan sepuluh peratus yang terjejas ini? Adakah ada mekanisme khas? Adakah ada fleksibiliti untuk kes tertentu atau kita hanya bergantung kepada angka dan membiarkan mereka menyesuaikan diri sendiri? Ini persoalan-persoalan yang sangat fundamental untuk dijawab oleh pihak kerajaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa terdapat kelompongan yang perlu diatasi melalui dasar yang telah diumumkan oleh kerajaan.
“Selaku Ketua Pemuda UMNO tidak sesekali mahu menjadikan isu ini sebagai tunggangan politik saya. Saya sendiri sekeras-kerasnya menolak mana-mana pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ kerana saya percaya, ketika kita berhadapan dengan masalah seperti ini, kesepakatan kita sebagai rakyat Malaysia adalah melebihi segalanya.
“Pun begitu, saya juga melihat – tidak boleh tidak – ada kelompongan dalam dasar diumumkan oleh kerajaan, yang perlu untuk saya bersuara mewakili golongan yang amat memerlukan. Jangan sampai kerajaan terlepas pandang nasib mereka, atau lebih malang – sengaja mengabaikannya atas nama ‘angka dan statistik’.
“Kita boleh berbeza pendapat, ataupun pendekatan. Tapi jangan sampai hilang rasa… kerana akhirnya, yang kita urus bukan angka, tetapi kehidupan manusia,” katanya lagi. – UMNO Online
