Kenaikan Harga Minyak: Pelan Mitigasi, Komunikasi Kerajaan Perlu Jelas Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin menyifatkan langkah kerajaan dalam menangani kenaikan harga minyak ketika ini memerlukan penekanan yang lebih jelas dalam aspek komunikasi dan pelan mitigasi kepada rakyat.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong berkata ini kerana cabaran utama bukan hanya melibatkan dasar yang dilaksanakan, tetapi bagaimana ia disampaikan dan difahami oleh rakyat.
“Saya mengikuti pengumuman kerajaan berkenaan langkah menangani kenaikan harga minyak susulan faktor luaran yang sedang berlaku ketika ini. Pada saya, cabaran utama bukan sekadar dasar, tetapi komunikasi dan pelan mitigasi yang difahami. Tugasan memahamkan dan dilihat memahami.
“Rakyat kebanyakan hari ini tidak melihat gambaran besar. Apa yang dirasai oleh mereka adalah kesan segera iaitu kos meningkat, tekanan bertambah. Tetapi penjelasan yang menghubungkan keadaan semasa dengan konteks global dan sifat sementara langkah-langkah ini masih belum cukup jelas,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Menurut Hafiz lagi rakyat pada saat ini lebih memerlukan kepimpinan dan keyakinan, justeru kerajaan perlu memandu rakyat memahami bahawa situasi hari ini adalah respon kepada ketidaktentuan semasa dan tidak bersifat kekal.
Beliau juga membangkitkan persoalan berkaitan perbezaan pendekatan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang menurutnya perlu dijelaskan secara terbuka dan berfakta bagi mengelakkan persepsi wujudnya ‘double standard’.
“Keyakinan itu penting. Pada ketika ini tidak berapa ada. Persoalan berkenaan perbezaan pendekatan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga perlu dijawab dengan lebih terbuka dan berfakta. Jika tidak dijelaskan dengan baik, ia membuka ruang kepada persepsi ‘double standard’ yang akhirnya menghakis kepercayaan.
“Di sinilah pentingnya peranan mereka yang pakar-pakar itu untuk tampil memberi penerangan yang jujur dan menyeluruh bukan sekadar kenyataan umum ditolak kepada satu dua individu sahaja. Ia tidak mampu membentuk kefahaman, tidak menjawab keresahan sebenar rakyat.
“Rakyat bukan sekadar mahu dasar. Rakyat mahu kefahaman serta kepimpinan yang mampu memberi keyakinan dan ketenangan bahawa kerajaan sedang mengawal keadaan dengan sebaiknya.
“Bukan merasai bantuan semakin berkurangan dan ditarik semula. Mesti ada gambaran bahawa masa depan akan kembali stabil dan kepedulian kepada mereka berada di aras paling tinggi,” ujar beliau. – UMNO Online
