Syawal Medan Perkukuh Kasih Sayang Dan Perpaduan – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Exco Wanita UMNO, Dr Masliha Harun mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada ahli serta akar umbi Wanita UMNO di seluruh negara.

Menurut beliau, kedatangan Syawal bukan sekadar menandakan kemenangan selepas sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan, malah menjadi ruang terbaik untuk memperkukuhkan nilai kasih sayang, perpaduan dan ukhuwah dalam masyarakat.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kepada seluruh ahli dan akar umbi Wanita UMNO di seluruh negara.

“Syawal yang hadir ini bukan sekadar hari kemenangan setelah kita menempuh tarbiah Ramadan, tetapi juga satu peluang untuk kita memperkukuhkan lagi nilai kasih sayang, perpaduan dan ukhuwah sesama kita.

“Saya berharap agar Syawal kali ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan serta mempereratkan lagi semangat kebersamaan dalam masyarakat kita,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) menyeru seluruh rakyat dan akar umbi agar terus mengekalkan nilai murni yang telah kita pupuk sepanjang Ramadan.

“Hulurkanlah tangan membantu mereka yang memerlukan, ringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dan teruskan semangat kebersamaan serta keprihatinan dalam kehidupan seharian kita,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Lembah Pantai, menasihati orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Pandulah dengan penuh berhemah dan sentiasa utamakan keselamatan agar kegembiraan Syawal dapat diraikan dengan penuh makna bersama insan tersayang,” ujarnya.

Beliau turut berharap Syawal yang diraikan tahun ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan serta mempereratkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Akhir kata, marilah kita bersama-sama memanfaatkan Syawal ini untuk mengeratkan silaturahim, menyemai semangat perpaduan dan memperkukuhkan keharmonian negara yang kita cintai. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO