Rumah Bangsa: Seruan Perpaduan Baharu UMNO Demi Masa Depan Lebih Kukuh
BENTONG, 18 Mac – Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohd Zaini Salleh menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung gagasan “Rumah Bangsa” yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut beliau, inisiatif “Rumah Bangsa” dilihat sebagai satu langkah terbuka dan inklusif untuk merapatkan semula saf perjuangan, khususnya dalam kalangan bekas ahli UMNO yang sebelum ini dipecat, digantung atau memilih untuk meninggalkan parti.

“Saya melihat cadangan Presiden ini sebagai satu pendekatan yang matang dan berpandangan jauh. Ia membuka ruang kepada mereka yang pernah tersasar untuk kembali bersama perjuangan asal,” katanya.
Ujarnya, gagasan tersebut juga merealitikan ucapan penggulungan Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Januari lalu yang menyatakan hasrat agar “Rumah Bangsa” menjadi platform untuk menerima semula ahli-ahli UMNO tanpa syarat, sebagai usaha memperkukuh perpaduan dalaman parti menjelang cabaran politik akan datang.
Namun begitu, Mohd Zaini berpandangan bahawa pendekatan tanpa syarat itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh dan berhemah, khususnya melibatkan kes-kes disiplin yang lalu.
“Walaupun Presiden menyebut tanpa syarat, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat ahli yang dipecat atau digantung atas sebab-sebab tertentu. Maka proses kemasukan semula ini perlu diteliti dengan lebih mendalam,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO wajar memainkan peranan penting dalam menentukan garis panduan bagi kemasukan semula ahli, termasuk mempertimbangkan faktor kesalahan yang pernah dilakukan.
“Kuasa mutlak dalam menentukan perkara ini tidak seharusnya terletak sepenuhnya kepada ibu pejabat sahaja. MKT perlu menetapkan syarat-syarat tertentu supaya keadilan dan disiplin parti terus terpelihara,” tegasnya.
Tambah beliau, pendekatan seimbang antara keterbukaan dan ketegasan amat penting bagi memastikan UMNO kekal relevan serta dihormati, tanpa mengabaikan prinsip asas perjuangan parti.
“Masa depan UMNO bergantung kepada kebijaksanaan semua pihak dalam mengimbangi antara keterbukaan dan prinsip, agar parti tidak hanya kuat dari segi jumlah keahlian, tetapi juga kukuh dari segi nilai dan integriti.”
Sehubungan itu beliau menyeru agar semua pihak khususnya anggota parti melihat gagasan “Rumah Bangsa” ini sebagai peluang besar untuk membina semula kekuatan UMNO berteraskan perpaduan, keikhlasan dan masa hadapan.
“Inilah masanya untuk kita merapatkan saf, melupakan perbezaan lama dan bergerak ke hadapan sebagai satu keluarga besar. Perpaduan ini bukan sahaja penting untuk parti, tetapi juga untuk masa depan orang Melayu dan negara.
“Kita juga tidak mahu sekadar kembali bersatu, tetapi kita mahu bersatu dengan lebih kuat, lebih matang dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan. Rumah Bangsa ini harus menjadi simbol kebangkitan semula UMNO,” tegasnya lagi. – UMNO Online
