Menjelang Aidilfitri: Tetap Kita Rai Dengan Penuh Kesyukuran, Bukan Kemewahan – Azalina

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan bahawa Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini tetap diraikan dengan penuh kesyukuran dan bukannya kemewahan.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Azalina memaklumkan beliau telah menghadiri Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri dan Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada Selasa.

“Saya telah menghadiri Mesyuarat Mingguan Jemaah Menteri pada Selasa dan disusuli dengan Mesyuarat Pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Amar Fadillah Haji Yusuf dan barisan Jemaah Menteri.

“Kesempatan bertemu dengan rakan-rakan kabinet saya gunakan untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya dan bermaaf-maafan. Saya juga sempat untuk memberi bingkisan ringkas sempena Aidilfitri berupa beberapa produk Industri Kecil Sederhana (IKS) tempatan di Pengerang kepada mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berpandangan bahawa rakyat perlu diingatkan untuk lebih bersederhana dan bertanggungjawab dalam setiap perkara khususnya dengan konflik yang berlarutan di Asia Barat.

“Memandangkan Mesyuarat Kabinet dan ‘post-cab’ hari ini adalah yang terakhir sebelum kita menyambut Hari Raya akhir minggu ini, Perdana Menteri menasihatkan agar semua perbelanjaan diurus secara berjimat cermat serta berhemah.

“Dalam suasana dunia yang masih tidak menentu, khususnya dengan konflik berlarutan di Asia Barat, kita diingatkan untuk lebih bersederhana dan bertanggungjawab dalam setiap perkara.

“Aidilfitri tetap kita raikan dengan penuh kesyukuran—bukan pada kemewahan, tetapi pada kebersamaan, keinsafan dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO