Mantai Rayo Pertang Hidupkan Tradisi, Persiapan Aidilfitri Meriah

PERTANG, 18 Mac — Suasana di sekitar Kompleks UMNO Simpang Pertang bertukar meriah seawal pagi apabila program Mantai Rayo DUN Pertang berlangsung dengan sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Program yang menjadi tradisi masyarakat Negeri Sembilan itu terus mengukuhkan semangat kejiranan apabila orang ramai hadir seawal subuh untuk mendapatkan bekalan daging segar serta barangan keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Jalaluddin Alias yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, penganjuran Mantai Rayo bukan sekadar aktiviti jualan, tetapi platform mempereratkan hubungan masyarakat.

“Mantai Rayo ini adalah tradisi unik kita yang bukan sahaja membantu rakyat membuat persiapan raya, malah mengeratkan silaturahim sesama penduduk. Saya gembira melihat sambutan yang begitu meriah tahun ini,” katanya.

Antara tarikan utama ialah jualan daging subsidi pada harga RM32 sekilogram, yang mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung. Selain itu, program Jualan Rahmah turut diadakan serentak, menawarkan pelbagai barangan dapur pada harga berpatutan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Seronok tengok ibu-ibu dan bapa-bapa dapat bekalan daging segar dengan harga jimat untuk rendang dan sup pagi raya nanti.”

Menurut Jalaluddin, usaha seperti ini akan terus diperkasa pada masa hadapan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya menjelang musim perayaan.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan petugas yang bertungkus-lumus sejak subuh tadi. ‘Mogomantai’ kita tahun ini penuh keberkatan!” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO