Ab Rauf Seru Semangat Kebersamaan UMNO Di Majlis Berbuka Puasa
MASJID TANAH, 18 Mac — Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan bahawa kekuatan sebenar UMNO terletak pada semangat kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan ahlinya, khususnya di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama UMNO DUN Tanjung Bidara dan UMNO Bahagian Masjid Tanah yang berlangsung semalam.

Ab Rauf menekankan pentingnya perpaduan dalam memperkukuh perjuangan parti demi rakyat dan negeri.
“Inilah kekuatan sebenar kita, dalam sebuah keluarga besar UMNO yang sentiasa bersama dalam susah mahupun senang. Dengan semangat kebersamaan dan iltizam yang tidak pernah luntur, kita akan terus melangkah ke hadapan, memperjuangkan nasib rakyat serta memastikan kestabilan dan kemakmuran negeri sentiasa terpelihara.”
Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Masjid Tanah agar terus berganding bahu, memperbaharui tekad serta memperhebat khidmat kepada rakyat.

Menurutnya, semangat perjuangan yang berterusan dan kesatuan dalam parti akan menjadi asas penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri Melaka terus terjamin.
Turut hadir ialah kepimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah termasuk Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Datuk Hameed Basheer, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Datuk Rosli Abdullah (ADUN Kuala Linggi), selain wakil sayap parti seperti Ketua Pemuda Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Ketua Wanita Siti Kalthom Ahmad dan Ketua Puteri Amirah Yusof. – UMNO Online
