UMNO Labuan Zahir Simpati Kepada Mangsa Kebakaran UTC
LABUAN, 17 Mac – UMNO Bahagian Labuan menzahirkan rasa simpati kepada para peniaga yang terkesan dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan baru-baru ini.
Ketuanya, Mohd Rafi Alli Hassan berkata, kejadian tersebut merupakan satu dugaan besar khususnya kepada peniaga yang menjadikan premis itu sebagai sumber rezeki harian mereka.
Beliau berkata, kejadian itu juga amat menyentuh hati kerana berlaku ketika umat Islam sedang berada dalam bulan Ramadan dan membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya ingin merakamkan rasa simpati kepada semua peniaga yang terkesan dalam kejadian kebakaran yang berlaku di UTC Labuan semalam. Dugaan ini pastinya memberi kesan besar kepada mereka yang mencari rezeki di premis tersebut. Saya mendoakan agar semua peniaga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Menurut beliau, kebakaran tersebut pastinya memberi kesan kepada persiapan para peniaga dan keluarga mereka menjelang Syawal, memandangkan ramai yang bergantung kepada perniagaan di premis berkenaan.
“Lebih menyentuh hati, kejadian ini berlaku dalam bulan Ramadan ketika ramai sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pastinya dugaan ini amat berat buat para peniaga yang terjejas kerana ia menjejaskan sumber pendapatan serta persiapan mereka dan keluarga menjelang Syawal,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia memohon agar pihak berkuasa dan agensi kerajaan berkaitan dapat menyalurkan bantuan sewajarnya kepada peniaga yang terlibat.
“Saya memohon agar Perbadanan Labuan serta semua agensi kerajaan berkaitan dapat menyalurkan bantuan sewajarnya kepada para peniaga yang terlibat bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan perniagaan dan kehidupan seharian,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut berharap agar pihak Perbadanan Labuan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat meneliti keadaan struktur bangunan serta tahap keselamatan premis tersebut secara menyeluruh.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya berharap Perbadanan Labuan bersama JKR dapat meneliti keadaan struktur bangunan serta tahap keselamatan premis tersebut secara menyeluruh bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua pihak yang terlibat diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi dugaan tersebut. – UMNO Online
