Program Ihya Lailatulqadar Hidupkan Malam Akhir Ramadan Di Parit Yaani – Najib
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Malam-malam terakhir Ramadan sememangnya menjadi detik yang amat dinantikan umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah termasuk qiyamullail bagi merebut keberkatan yang dijanjikan.
Di Parit Yaani, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Datuk Najib Samuri turut mengambil inisiatif mengimarahkan malam-malam akhir Ramadan menerusi penganjuran program khas bersama masyarakat setempat.
Menerusi program Meh Lah Qiyam Ramadan, Ihya’ Lailatul Qadar DUN Parit Yaani, penduduk sekitar berpeluang berkumpul bagi sama-sama menghidupkan malam-malam akhir Ramadan dengan pelbagai pengisian ibadah.
Menurut beliau, usaha mengimarahkan malam terakhir Ramadan amat digalakkan kerana ia merupakan peluang terbaik untuk umat Islam mencari keberkatan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
“Mengimarahkan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah merupakan antara amalan yang sangat digalakkan, lebih-lebih lagi dalam usaha merebut keberkatan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
“Alhamdulillah, program Meh Lah Qiyam Ramadan, Ihya’ Lailatul Qadar DUN Parit Yaani yang diadakan di Masjid Parit Besar pada Ahad berjalan dengan lancar dengan kehadiran jemaah yang sama-sama mengambil peluang untuk menghidupkan malam dengan ibadah,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau lagi, program tersebut bermula seawal jam 4.00 pagi dengan pelaksanaan solat-solat sunat secara berjemaah sebelum diteruskan dengan majlis sahur beramai-ramai bersama para jemaah yang hadir.
Ujarnya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat, malah memberi ruang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
“Semoga Ramadan kali ini memberi kita peluang untuk terus memperbanyakkan amal ibadah dan merebut keberkatan malam-malam yang penuh kemuliaan,” ujarnya. – UMNO Online
