Forum Ilmuan Malaysia Madani Perkukuh Strategi Hadapi Ketidakstabilan Global

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Forum Ilmuan Malaysia Madani menjadi platform penting dalam membincangkan strategi Malaysia dan ASEAN dalam mendepani ketidakstabilan global yang semakin mencabar.

Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan forum tersebut menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan bagi membincangkan isu bertajuk ‘Strategi bagi Malaysia dan ASEAN dalam Era Ketidakstabilan Global’.

“Petang tadi saya berkesempatan hadir ke Forum Ilmuan Malaysia Madani yang menghimpunkan tokoh-tokoh ilmuwan bagi membincangkan strategi Malaysia dan ASEAN dalam era ketidakstabilan global.

“Forum ini menampilkan tokoh ekonomi tersohor dunia yang juga merupakan Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDSN), Prof Jaffery D Sachs,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, perbincangan dalam forum tersebut turut menyentuh cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks.

“Perbincangan menyentuh mengenai cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks termasuk kesan konflik antarabangsa terhadap kestabilan dunia serta kesejahteraan rakyat.

“Turut dibincangkan kepentingan mempertahankan prinsip keadilan sejagat serta kedaulatan undang-undang antarabangsa termasuk keperluan kerjasama antara negara bagi menangani cabaran global yang saling berkait,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO