Tok Ajak Hargai Usaha Cawangan Santuni Rakyat Sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menzahirkan penghargaan terhadap komitmen kepimpinan parti di pelbagai peringkat khususnya di peringkat cawangan yang terus aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan bersama masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.

Menurut beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, peranan dimainkan oleh kepimpinan di akar umbi amat penting dalam memastikan parti sentiasa dekat dengan rakyat serta memahami keperluan masyarakat pelbagai lapisan.

Katanya, usaha berterusan menganjurkan program kebajikan dan kemasyarakatan membuktikan kesungguhan kepimpinan cawangan dalam menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Tok Ajak sangat menghargai usaha kepimpinan cawangan-cawangan yang gigih mengadakan pelbagai program sepanjang Ramadan.

“Semalam Tok Ajak berkesempatan hadir ke Cawangan Bakar Batu untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka berkata, selain menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan, program di Cawangan Bakar Batu turut menyediakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu masyarakat setempat.

Antaranya termasuk perkhidmatan gunting rambut percuma, jualan barangan keperluan pada harga murah serta jualan daging dan ayam bagi meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri.

“Dari Bakar Batu, Tok Ajak kemudiannya ke Cawangan Kampung Kolam bagi menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk setempat.

“Semoga segala amal kebaikan dan usaha kebajikan yang kita lakukan ini dilipatgandakan ganjarannya di sisi Allah SWT,” tambah beliau.– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO