Mohamad Hasan Teruskan Siri Sumbangan Aidilfitri Kepada Akar Umbi UMNO Rembau
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan usaha menyantuni kepimpinan parti akar umbi dengan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kepimpinan UMNO cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dan Kota.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berbesar hati memberikan sumbangan tersebut kepada Kepimpinan UMNO Cawangan Empat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dalam satu majlis yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Rembau.
“Saya menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Kepimpinan UMNO Cawangan Empat Peringkat Dun Paroi bertempat di Pejabat UMNO Bahagian Rembau.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu dalam membuat persiapan dan memenuhi keperluan menjelang Aidilfitri.
“Seterusnya ke Pejabat DUN Kota bagi penyampaian sumbangan Aidilfitri UMNO DUN Kota. Sumbangan telah disampaikan kepada Kepimpinan UMNO Cawangan Empat Peringkat bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Mohamad kemudiannya meneruskan gerak kerja ke DUN Chembong bagi menyerahkan sumbangan Aidilfitri di Pejabat Parlimen Rembau, manakala serahan kepada akar umbi DUN Rantau diadakan di Dewan Mini Kampung Kanchong.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu serta menceriakan lagi sambutan Aidilfitri.
“Gerak kerja diteruskan ke DUN Chembong untuk menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada Kepimpinan UMNO Cawangan Empat Peringkat bertempat di Pejabat Parlimen Rembau.
“Didoakan semoga sumbangan ini dapat menceriakan lagi sambutan hari raya yang bakal menjelang.
“Siri penyampaian sumbangan hari raya kepada kepimpinan UMNO Cawangan Empat Peringkat diakhiri dengan serahan kepada UMNO DUN Rantau bertempat di Dewan Mini Kampung Kanchong.
“Semoga sumbangan ini dapat menambah kemeriahan sambut Aidilfitri yang bakal tiba,” ujar beliau. – UMNO Online
