KJ Serahkan Surat Rayuan Kembali Ke UMNO – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa beliau menerima kunjungan Khairy Jamaluddin yang menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
Menurutnya, kunjungan itu berlaku semalam iaitu pada malam ke-26 Ramadan dan merupakan simbolik usaha penyatuan parti.
“Alhamdulillah. Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO,” kata beliau dalam hantaran di laman Facebooknya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa konsep “Rumah Bangsa” menjadi platform untuk menyatukan kembali mereka yang pernah berpisah, merapatkan hubungan yang renggang, dan menghimpunkan semua anggota dalam satu keluarga besar perjuangan UMNO.
“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa permohonan Khairy telah diterima secara peribadi dan akan dibawa ke Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya penyatuan berbanding perpecahan.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita.
“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” tambah beliau lagi. – UMNO Online
