Johor Terus Melangkah Ke Hadapan, Kerajaan Negeri Bekerja Dengan Amanah – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 16 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan Kerajaan Negeri akan terus bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk Bangsa Johor.

Beliau berkata demikian bersempena genap empat tahun diberi amanah untuk memimpin pentadbiran negeri Johor.

Menurut beliau, sepanjang tempoh tersebut, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negeri termasuk menarik pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit serta mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan.

Pada masa sama, Onn Hafiz menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan dan program pembangunan.

“Namun, ingin saya tegaskan bahawa semua yang dicapai ini bukanlah hasil usaha saya semata-mata, tetapi lahir daripada kerja keras sebuah pasukan yang sentiasa berusaha siang dan malam demi memastikan Johor terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju negeri, beliau menegaskan bahawa tempoh empat tahun tersebut hanyalah sebahagian daripada perjalanan Johor menuju status negeri maju menjelang 2030.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab supaya setiap usaha yang kita lakukan hari ini dapat membina masa depan yang lebih baik untuk Bangsa Johor,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kepimpinan kerajaan negeri, penjawat awam serta rakyat Johor yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang tempoh pentadbirannya.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh beliau memimpin kerajaan negeri.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas sokongan serta nasihat dalam memastikan negeri Johor diurus dengan amanah dan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan Bangsa Johor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO