Ab Rauf Santuni Rakyat Melalui Pelbagai Program Ramadan, Kebajikan Jadi Keutamaan

MELAKA, 16 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus mendekati rakyat melalui pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang Ramadan, termasuk Majlis Iftar Santai dan Festival Kuih Tradisional Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, malam tadi.

Majlis tersebut bukan sahaja menyajikan lebih 20 jenis kuih tradisional, malah turut menyaksikan semangat gotong-royong masyarakat dengan pengacauan 30 kawah dodol secara serentak sebagai simbol perpaduan rakyat negeri ini.

Menurut Ab Rauf, setiap program yang dianjurkan Kerajaan Negeri sentiasa berpaksikan kepada prinsip Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Program seperti ini bukan sekadar mengimarahkan Ramadan, tetapi menjadi lambang perpaduan rakyat Melaka. Prinsip Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bukan sekadar slogan, sebaliknya komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk VP Shanmugam serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman.

Dalam majlis yang sama, Ab Rauf bersama pimpinan negeri turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 284 pengayuh beca Melaka sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang diiktiraf sebagai duta pelancongan negeri.

Terdahulu beliau turut meluangkan masa menyertai Program Ziarah Kasih dan Sumbangan Asnaf bagi menyantuni golongan yang memerlukan.

“Melihat senyuman di wajah mereka yang memerlukan benar-benar memberi makna kepada erti ukhuwah. Semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban serta membawa sinar kegembiraan buat mereka,” ujarnya.

Dalam program berasingan, beliau bersama pimpinan negeri turut menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya yang diadakan di Masjid Al-Ibadah Bukit Piatu.

Seramai 120 penerima diraikan dalam majlis tersebut yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim bersama beberapa pemimpin negeri.

Pada majlis sama, Kerajaan Negeri Melaka turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM409,500 kepada 25 masjid dan 108 surau di Parlimen Hang Tuah Jaya bagi mengimarahkan pelbagai program sepanjang Ramadan.

Menurut Ab Rauf, sumbangan tersebut diharapkan dapat memperkukuh peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah serta medan penyatuan masyarakat.

“Masjid dan surau bukan sahaja tempat ibadah, malah berperanan penting dalam membentuk masyarakat yang sejahtera serta memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan umat Islam,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO