#PemudaSpeaks Jadi Ruang Dialog Santai Pemuda Damansara
DAMANSARA, 15 Mac – Pemuda UMNO Bahagian Damansara terus menghidupkan semangat Ramadan dengan penganjuran program Moreh Dan Sembang Santai bersama Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin.
Program yang berlangsung di Restoran Selera Belanda di Glomac Centro itu merupakan sebahagian daripada inisiatif #PemudaSpeaks iaitu satu platform yang memberi ruang kepada anak-anak muda dan kepimpinan Pemuda untuk berinteraksi secara santai sambil bertukar pandangan mengenai isu semasa serta hala tuju gerak kerja parti.
Menariknya, restoran yang menjadi lokasi program ini dimiliki oleh salah seorang Ketua Pemuda Cawangan dalam Bahagian Damansara, sekali gus mencerminkan sokongan dan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli Pemuda di peringkat akar umbi.
Melalui suasana santai selepas moreh, program ini menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri dan Pemuda di peringkat bahagian serta cawangan.
Pendekatan seperti ini dilihat mampu menghidupkan semula budaya perbincangan terbuka dan merapatkan lagi hubungan sesama ahli, selari dengan aspirasi UMNO untuk terus mendekati generasi muda dengan pendekatan yang lebih segar dan inklusif. – UMNO Online
