Kempen Hargai Sisa Demi Kelestarian Di Bazar Ramadan Tingkat Kesedaran Kurangkan Pembaziran
KULAI, 15 Mac – Usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran makanan terus diperkukuh apabila Kempen Hargai Sisa Demi Kelestarian dilaksanakan di Bazar Ramadan Temenggong, di sini.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang hadir bersama menjayakan kempen berkenaan sebagai usaha mengajak masyarakat menghargai rezeki dan menguruskan sisa makanan secara lebih lestari, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, isu pembaziran makanan bukan sekadar berkaitan kebersihan atau pengurusan sisa semata-mata, sebaliknya turut melibatkan nilai menghargai rezeki serta tanggungjawab sosial masyarakat.

“Ramadan adalah bulan yang mengingatkan kita tentang nilai kesederhanaan dan keinsafan. Dalam masa yang sama, kita harus sedar masih ramai yang berjuang untuk mendapatkan makanan. Setiap makanan yang kita elakkan daripada dibazirkan sebenarnya membawa makna yang sangat besar,” katanya menerusi hanataran di laman Facebooknya selepas program tersebut, semalam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) atas penganjuran program berimpak tinggi itu dalam mendidik masyarakat mengenai pengurusan sisa secara lestari.
Katanya, melalui kerjasama SWCorp Malaysia bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebanyak 200 unit Kit Kompos telah diperkenalkan kepada isi rumah bagi menggalakkan pengurusan sisa makanan secara lebih bertanggungjawab.
“Inisiatif ini membolehkan sisa makanan seperti sayur, buah, nasi dan roti diproses menjadi baja organik yang memberi manfaat kepada tanaman serta alam sekitar.
“Penggunaan 200 unit kit kompos ini dijangka mampu menyelamatkan kira-kira 400 kilogram sisa makanan daripada dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus mengurangkan 1,468 kilogram pelepasan karbon CO₂ serta menghasilkan sekitar 120 kilogram baja organik setiap bulan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, statistik terkini juga menunjukkan perkembangan positif apabila peratus pelupusan makanan yang masih boleh dimakan menurun sebanyak 11.74 peratus berbanding tahun lalu.
Jelasnya, komposisi sisa makanan yang mencatat 44.5 peratus pada tahun 2024 kini menurun kepada 40.97 peratus pada tahun 2025 dan dijangka terus berkurang kepada 39.62 peratus pada tahun 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghargai makanan.

Program tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti kesedaran termasuk Kempen Value Food No Waste (VFNW), Kempen Elakkan Plastik Sekali Guna, Kempen MySaveFood Ramadan, Program 5R4DR (5R for Duit Raya), koleksi Preloved Raya serta Operasi Penguatkuasaan Sampah Kecil.
Selain itu, pengunjung yang membawa beg guna semula atau bekas makanan sendiri turut menerima ganjaran e-Tunai Touch ‘n Go sebagai galakan kepada amalan mesra alam, manakala 50 pengunjung terawal menerima pocket pouch daripada fabrik kitar naik.
Dalam masa sama, program berkenaan turut membawa sentuhan kebajikan apabila sebanyak 250 bungkus juadah berbuka puasa diagihkan kepada pengunjung bazar, selain Sumbangan Kasih Ramadan kepada 10 penerima yang memerlukan.
Mohd Jafni berkata, Kerajaan Negeri Johor akan terus komited memperkukuh usaha menjadikan Johor sebagai negeri yang bersih, lestari dan berdaya huni.
“Di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri akan terus memperkasa inisiatif yang menyokong kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri dan semangat Bangsa Johor,” katanya.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Malaysia, Khalid Mohamed; Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad selaku penganjur serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai, Mohd Hafiz Aliman bersama pemimpin setempat. – UMNO Online
