Johor Peruntuk RM14.94 Juta Laksana 128 Projek Pembangunan Di Muar

MUAR, 14 Mac – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM14.94 juta bagi melaksanakan 128 projek pembangunan menerusi Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) Daerah Muar yang melibatkan pelbagai kerja baik pulih serta naik taraf infrastruktur dan kemudahan awam.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan tersebut bertujuan memastikan keperluan rakyat di daerah berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui penyelarasan antara kerajaan negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan tempatan.

Menurut beliau, mesyuarat MTD Muar yang melibatkan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut membincangkan sebanyak 405 isu dan perkara berbangkit yang menyentuh pelbagai aspek pembangunan setempat.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 134 isu telah berjaya diselesaikan, 51 isu sedang dalam pelaksanaan, manakala 160 lagi merupakan permohonan baharu yang akan diteliti untuk tindakan selanjutnya oleh agensi berkaitan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau menjelaskan pendekatan melalui MTD merupakan mekanisme penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat diselaraskan dan diselesaikan secara lebih tersusun.

“Melalui MTD, setiap perkara yang dibangkitkan dapat diteliti secara bersama antara Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan supaya tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, berfokus dan berkesan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan antara projek yang akan dilaksanakan termasuk kerja menaik taraf balapan di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

“Usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kemudahan sukan selain menyokong pembangunan komuniti serta bakat anak muda di daerah Muar,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang diadakan di Masjid Jamek Nurul Iman bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, semalam.

“Semoga dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi pelaksana serta kepimpinan setempat, setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan sebaiknya agar isu yang dibangkitkan rakyat dapat terus ditangani secara berkesan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO