Wanita UMNO Lembah Pantai Himpun 800 Peserta Jayakan Tadarus dan Khatam Al-Quran

LEMBAH PANTAI, 13 Mac – Wanita UMNO Bahagian Lembah Pantai yang diketuai oleh Datin Nor Asyikin Jaafar terus mengimarahkan Ramadan apabila berjaya menganjurkan Program Tadarus dan Khatam Al-Quran 2026 yang berlangsung dengan penuh meriah serta mendapat sambutan memberangsangkan, baru-baru ini.

Program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 800 peserta yang terdiri daripada barisan EXCO, Ahli Jawatankuasa, Ketua-Ketua Wanita Cawangan serta ahli-ahli Wanita dari seluruh cawangan di kawasan Lembah Pantai yang mendapat kerjasama beberapa organisasi termasuk Pertubuhan Kebajikan Inspirasi Anggun WPKL (Anggun), Pertubuhan Kebajikan Dinamika Rakyat WPKL (Dinarkl), Masjid Ar-Rahah, Muslimat Ar-Rahah serta J-BAQ.

Nor Asyikin berkata program tersebut bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah dalam kalangan wanita serta meningkatkan penghayatan terhadap Al-Quran.

Menurut beliau, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan kesungguhan wanita di Lembah Pantai untuk mendekatkan diri kepada nilai-nilai kerohanian.

“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi merupakan usaha berterusan untuk memperkukuhkan jati diri wanita melalui penghayatan Al-Quran serta memupuk semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Wanita UMNO Lembah Pantai akan terus memperhebatkan dua program teras yang menjadi fokus pergerakan itu iaitu kebajikan dan kerohanian.

“Melalui inspirasi yang diterjemahkan dalam Program SayangiMU dan Program Wanita Solehah, kami komited untuk terus melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada wanita dan masyarakat setempat,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai atas sokongan berterusan terhadap penganjuran program yang memberi impak positif kepada golongan wanita.

Majlis dimulakan dengan sesi tadarus dan bimbingan khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Ar-Rahah, Al-Fadhil Ustaz Zulkefli Salleh yang kemudiannya pengisian kerohanian menerusi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustazah Nazirah Abu Bakar.

Program tersebut diakhiri dengan majlis khatam Al-Quran serta penyampaian penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program berkenaan.

Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Fahmi Fadzil selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Menteri Komunikasi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO