Ramadan Dimanfaatkan Dengan Ziarah Kasih, Syahbuddin Santuni Golongan Memerlukan

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim memanfaatkan Ramadan sebaiknya dengan menziarahi beberapa keluarga yang memerlukan di sekitar kawasan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, ziarah tersebut dilaksanakan bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) bagi melihat sendiri keadaan mereka di samping menyampaikan bantuan.

“Abe Din bersama pihak JKM sempat menziarahi rumah-rumah penerima bantuan JKM di Galas. Di sebalik pintu-pintu rumah ini, ada ujian yang dipikul dalam diam, ada kesusahan yang tidak selalu terungkap dengan kata-kata.

“Semoga Ramadan ini melembutkan hati kita untuk lebih banyak bersedekah, lebih ringan menghulur bantuan, dan lebih peka terhadap derita saudara-saudara kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu dalam perkongsian terdahulu, beliau sekali lagi melaksanakan ziarah namun kali ini bersama Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Fadzlete Aryani serta barisan jawatankuasanya.

Menurutnya, Ramadan mengajar umat Islam bahawa kehadiran untuk menyantuni masyarakat juga merupakan satu bentuk ibadah yang memberi makna besar kepada mereka yang memerlukan perhatian dan sokongan.

“Dalam setiap ziarah, ada doa yang dipanjatkan dalam setiap pertemuan, ada harapan yang tidak pernah padam.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan buat mereka yang sedang diuji dengan sakit, menguatkan hati keluarga yang menjaga, dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas kita semua.” Ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO