RM10.35 Juta Disumbang Kepada Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin
PUTRAJAYA, 12 Mac – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menerima sumbangan berjumlah RM10.35 juta bagi Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dalam satu majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Wisma Putra semalam.
Mohamad berkata sumbangan tersebut mencerminkan solidariti rakyat Malaysia serta sektor korporat terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan, khususnya di Gaza yang menyaksikan kemusnahan besar terhadap infrastruktur dan kehidupan masyarakat.

“Sumbangan berjumlah RM10.35 juta yang diterima hari ini adalah tanda solidariti dan keprihatinan rakyat serta syarikat-syarikat korporat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus berdepan kekejaman rejim Zionis, khususnya di Gaza yang menyaksikan kemusnahan besar terhadap infrastruktur dan kehidupan masyarakatnya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan korporat yang tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu rakyat Palestin.
Antara syarikat yang terlibat ialah Media Prima Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, Berjaya Corporation Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad serta PLUS Malaysia Berhad.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua GLC, GLIC dan badan-badan korporat yang bersama-sama menterjemahkan keprihatinan dalam membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis Israel,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa tabung berkenaan sentiasa dipantau dan diaudit bagi memastikan setiap sumbangan diuruskan dengan penuh amanah.
“Tabung ini sentiasa dipantau, diaudit dan diuruskan dengan penuh amanah agar setiap sumbangan dapat disalurkan sebaiknya kepada rakyat Palestin yang memerlukan bantuan kemanusiaan,” katanya lagi. – UMNO Online
