Pertahanan Negara Perlukan Sokongan Seluruh Rakyat – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pertahanan negara memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia melalui pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WoGoS).
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled memaklumkan beliau telah berpeluang bersama rakan-rakan media dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan pada Rabu.

“Alhamdulillah pada Ramadan ke-21, saya berpeluang bersama rakan-rakan media dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.
“Majlis ini menjadi ruang untuk merapatkan hubungan dan menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membuat liputan berkenaan pertahanan negara.
“Dalam konteks ini, pertahanan negara tidak boleh hanya diletakkan di bahu Kementerian Pertahanan dan ATM semata-mata. Ia memerlukan sokongan seluruh rakyat melalui pendekatan Whole-of-Government dan WoGoS.
“Media mempunyai peranan penting dalam menyemai semangat cinta kepada negara, memperkukuh jati diri bangsa, membina solidariti rakyat dan menangkis propaganda luar, di samping membantu meningkatkan moral anggota-anggota tentera yang mempertahankan negara,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO telah melancarkan Program Cakna Autisme ATM Pharmaniaga Berhad dan penyerahan sumbangan kepada untuk Sekolah Tahfiz serta Asrama Anak Yatim ATM (STAY ATM) pada majlis tersebut.
“Pada majlis ini juga saya berkesempatan melancarkan Program Cakna Autisme ATM Pharmaniaga Berhad, serta penyerahan sumbangan kepada untuk STAY ATM.
“Kekuatan pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada aset dan kesiapsiagaan anggota, tetapi juga kepada kebajikan warga tentera serta keluarga mereka,” katanya lagi. – UMNO Online
