Kunjungan Hormat: Ruang Johor-Singapura Bertukar Pandangan, Perkukuh Kerjasama

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kunjungan hormat daripada delegasi Kerajaan Singapura menjadi ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan dan memperkukuhkan kerjasama.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Onn Hafiz memaklumkan perjumpaan tersebut turut berbincang mengenai keselamatan bekalan air dan pengurusan alam sekitar yang lebih mampan.

“Syukur Alhamdulillah, saya telah menerima kunjungan hormat Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura, PYT Grace Fu, bersama delegasi Kerajaan Singapura di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana.

“Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama Johor–Singapura khususnya dalam memastikan keselamatan bekalan air serta pengurusan alam sekitar yang lebih mampan bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut berharap agar pertemuan tersebut terus memperkukuh hubungan baik Johor-Singapura terutamanya dalam bidang kelestarian alam.

“Kami juga menyentuh mengenai usaha untuk meneroka bentuk kerjasama strategik dalam memperkukuh perlindungan kualiti air sungai, pengurusan pencemaran dan penerokaan teknologi serta pendekatan baharu bagi meningkatkan daya tahan sistem bekalan air dan alam sekitar.

“Semoga pertemuan ini terus memperkukuh hubungan baik Johor–Singapura dan membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam bidang kelestarian alam sekitar serta pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO