Ahmad Maslan Akur Tiada Rumah Terbuka Aidilfitri Susulan Langkah Penjimatan Kesan Konflik Timur Tengah

KUALA LUMPUR, 12 Mac — Kerajaan memutuskan untuk tidak mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri melibatkan kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan sebagai langkah penjimatan susulan kesan ekonomi daripada konflik di Timur Tengah.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan bahawa beliau akur dengan keputusan tersebut dan turut membatalkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang sebelum ini dijadualkan pada 28 Mac 2026.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri, tahun ini bagi memberi mesej berbelanja dengan cermat, susulan kesan ekonomi daripada konflik peperangan antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran.

“Menuruti keputusan Jemaah Menteri yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri secara langsung sebentar tadi, selaku salah seorang pimpinan kerajaan, saya akur untuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri yang dijadualkan pada 28 Mac 2026,” kata Ahmad berkaitan isu terbabit.

Tambah beliau, langkah tersebut diambil susulan tekanan ekonomi global yang berpunca daripada konflik melibatkan Iran, Israel dan United States di rantau Timur Tengah.

Menurutnya, peperangan berkenaan telah memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia, kos barangan import serta rantaian kenaikan harga yang lain.

“Ini adalah salah satu usaha penjimatan kerajaan akibat kesan peperangan di Timur Tengah yang menyebabkan kenaikan harga minyak, barangan import dan rantaian kenaikan kos yang lain,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO