ADUN Liawan Ziarah Mangsa Kebakaran, Hulur Bantuan Ringankan Beban

KENINGAU, 12 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Nik Mohd Nazri Nik Zawawi turun padang menziarahi mangsa kebakaran yang memusnahkan kediaman sebuah keluarga di kawasan Liawan baru-baru ini bagi menzahirkan keprihatinan serta menyampaikan bantuan kepada mangsa terlibat.

Ujarnya, lawatan tersebut bertujuan melihat sendiri keadaan mangsa selain memahami situasi sebenar yang dihadapi selepas insiden kebakaran yang menyebabkan kerosakan besar kepada kediaman mereka.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menyampaikan beberapa sumbangan asas bagi membantu meringankan beban mangsa selain memberi sokongan moral agar mereka terus tabah menghadapi ujian yang menimpa.

Menurut beliau, kehadiran tersebut adalah sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib rakyat yang sedang berdepan kesukaran.

“Semoga segala urusan mangsa dipermudahkan dan mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Diharapkan sumbangan kecil ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga terbabit,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa selain bantuan material, sokongan moral daripada masyarakat amat penting bagi memastikan mangsa terus kuat menghadapi cabaran selepas kejadian tersebut.

Nik Mohd Nazri juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan tampil membantu, kerana setiap sumbangan dan sokongan yang diberikan jelas meringankan beban serta memberi semangat kepada keluarga mangsa untuk terus kuat menghadapi cabaran. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO