SKM Kenal Pasti Faktor Kegagalan Koperasi di Pedalaman Sarawak – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membatalkan pendaftaran sebanyak 61 koperasi di kawasan luar bandar di negeri Sarawak bagi tempoh tahun 2023 hingga 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, berdasarkan penelitian, antara cabaran atau kekangan yang dihadapi oleh masyarakat di luar bandar atau pedalaman sehingga menyebabkan kegagalan dalam mengoperasikan koperasi.

“Kegagalan memenuhi keperluan bersama (common needs) yang ingin dicapai dalam sesebuah komuniti serta kurang kerjasama dan penglibatan dalam kalangan anggota koperasi untuk bergiat aktif.

“Kekurangan pengetahuan dalam aspek keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan Anggota Lembaga Koperasi (ALK). Kelemahan tadbir urus dalam kalangan ALK yang kurang pendedahan kepada pengurusan bersistematik.

“Aktiviti koperasi yang tidak konsisten akibat ketiadaan modal syer mencukupi dan kedudukan geografi di luar bandar menyebabkan perhubungan terhad dan kesukaran mendapatkan bahan mentah dengan kos yang munasabah,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Michael Mujah Lihan yang bertanyakan jumlah keseluruhan koperasi di luar bandar Sarawak dari 2023 hingga 2025 yang telah dibatalkan, apakah sebab-sebab kegagalan koperasi tersebut dan apakah perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula koperasi tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menjelaskan antara langkah yang diambil bagi mengaktifkan semula koperasi adalah seperti berikut.

“SKM menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan bagi memperkukuh tadbir urus dengan memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan.

“Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melaksanakan pelbagai program pemulihan dan pengukuhan koperasi melalui inisiatif pembangunan kapasiti,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengambil langkah proaktif melaksanakan bengkel pemulihan bagi membantu menghidupkan semula koperasi yang tidak aktif di seluruh negara.

“ANGKASA melaksanakan bengkel pemulihan bagi mengenal pasti punca ketidakaktifan dan intervensi khusus termasuk penyelesaian akaun tertunggak, pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) dan pengaktifan semula aktiviti perniagaan.

“ANGKASA turut menyediakan bantuan MAT sebanyak RM1,000 kepada 30 koperasi dan bantuan perkhidmatan perakaunan sebanyak RM1,000 kepada 30 koperasi tidak aktif,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO